Bekas Exco yang hadir ke bangunan SUK semalam walaupun telah dipecat. - Foto Sinar Harian Oleh: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Bekas Exco yang hadir ke bangunan SUK semalam walaupun telah dipecat. - Foto Sinar Harian Oleh: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

SHAH ALAM - Lima Exco daripada DAP dan parti PKR diarah mengosongkan pejabat masing-masing ekoran pemecatan mereka mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata bagaimanapun buat masa ini tiada tempoh masa tertentu diberikan kepada kesemua Exco terlibat.

“Arahan pemecatan mereka telah diperkenankan Sultan Selangor dan mulai 12 Ogos (semalam) mereka tidak lagi dibenarkan untuk meneruskan tugas.

“Buat masa ini, tiada arahan dikeluarkan bila sepatutnya mereka harus mengosongkan pejabat masing-masing, tetapi mereka dibenarkan masuk ke pejabat bagi mengemaskan barang persendirian mengikut masa mereka,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai beberapa Exco daripada kedua-dua parti itu yang kelihatan hadir dan meneruskan tugas di pejabat masing-masing di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, Mohamed Khusrin berkata, kehadiran Exco berkenaan bagaimanapun tidak melibatkan tugasan rasmi.

Kelmarin, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menulis surat bagi meminta perkenan Sultan Selangor supaya  Exco daripada PKR dan DAP yang tidak menyokong pentadbirannya digugurkan serta-merta daripada jawatan.

Tiga anggota Exco daripada DAP ialah Datuk Teng Chang Khim, V. Ganabatirau dan Ean Yong Hian Wah sementara anggota Exco daripada PKR ialah Elizabeth Wong Keat Ping dan juga Dr Daroyah Alwi.