• MH17
1 / 1
KIEV - UKRAINE. Keperluan pihak berkuasa Netherlands menjalankan pelbagai proses untuk mengesahkan identiti mayat mangsa tragedi MH17 dikatakan menjadi sebab utama ia tidak dapat dibawa pulang ke tanah air sebelum Aidilfitri.
Satu lagi punca kelewatan itu ialah masalah yang dihadapi pasukan penyiasat Malaysia di Kharkiv untuk mengasingkan pelbagai anggota tubuh mangsa seperti kaki dan tangan yang dihimpun bersama mayat tidak dikenali di dalam beg mayat.
Komander Pengecaman Mayat Mangsa Bencana (DVI) Polis Diraja Malaysia ACP Hussein Omar Khan memberitahu Bernama berikutan keadaan mayat yang semakin mereput, pihak berkuasa negara itu perlu mengambil sampel DNA daripada tulang mangsa.
"Ia mengambil banyak masa dan para pakar juga akan menggunakan rekod pergigian dan kaedah lain untuk mengesahkan identiti mangsa.
"Ini boleh mengambil masa dua atau tiga minggu untuk selesai. Oleh itu, adalah mustahil urusan pengecaman identiti mangsa dapat dibereskan sebelum Aidilfitri," kata Hussein, yang terlibat dalam proses mengimbas dan meletakkan tanda pada mayat mangsa tragedi MH17 di Kharkiv dan sorang daripada anggota pasukan penyiasatan khas Malaysia.
Pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 sedang terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine, berhampiran sempadan Rusia Khamis lepas.
Pesawat Boeing 777-200 itu membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan di Kuala Lumpur hari ini bahawa mayat rakyat Malaysia yang menjadi mangsa dalam tragedi MH17 tidak mungkin dapat dibawa pulang ke tanah air sebelum Aidilfitri.
Pesawat berkenaan dipercayai ditembak jatuh, tetapi hinga kini, tiada pihak mengaku melakukannya.
Sementara itu, ketua Penolong Setiausaha, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Leftenan Kolonel Mohd Sakri Hussain berkata terdapat juga kes beberapa anggota tubuh manusia diletakkan bersama mayat lain di dalam satu beg mayat.
"Sekiranya sesuatu mayat itu kehilangan kaki atau tangan, petugas yang mengutip mayat akan meletakkan kaki atau tangan mayat lain untuk menjadikan tubuh mayat itu kelihatan lengkap.
"Jadi, wujud kesulitan untuk mengesahkan bahagian tubuh mana satu yang menjadi milik sebenar mangsa dan inilah cabaran yang menyebabkan pihak berkuasa Netherlands memerlukan lebih banyak masa untuk menyelesaikan tugas mereka," katanya.
Di samping itu, jumlah mayat juga banyak, kata Mohd Sakri.
Sebanyak 282 mayat dan 87 bahagian tubuh manusia tiba di Kharkiv, kira-kira 500 km dari ibu negara Ukraine, Kiev, pada Isnin.
Sejak tiga hari lepas, beberapa mayat diimbas untuk mengesan kewujudan jerangkap samar dan diletakkan tanda di Kiev, sebelum diterbangkan ke Netherlands untuk urusan DVI dan selepas itu diserahkan kepada waris masing-masing.
Urusan mengimbas dan meletakkan tanda pada mayat di Kharkiv dijangka selesai Jumaat ini. - Bernama