• Fuad diiringi Fathul Bari melakukan aksi tomoi sebagai gimik perasmian majlis penyerahan barangan sukan muay thai di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Geting.
    Fuad diiringi Fathul Bari melakukan aksi tomoi sebagai gimik perasmian majlis penyerahan barangan sukan muay thai di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Geting.
1 / 1
PENGKALAN KUBOR – Berdasarkan kajian dijalankan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), BN diramalkan dapat mempertahankan kerusi N01 pada PRK Dun Pengkalan Kubor berikutan kecemerlangan rekod penyandangnya, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar.

Ketua Pengarah Jasa, Datuk Fuad Hassan berkata, masalah dalaman dihadapi Pas juga menjadi salah satu faktor yang memberi laluan untuk BN mempertahankan kerusi Dun Pengkalan Kubor sebagai kubu kuat parti itu sejak tiga penggal lalu.

"Bagaimanapun Jasa tidak dapat memberi penjelasan lanjut berhubung berapa jumlah undi yang bakal diperoleh BN pada PRK kali ini.

"Ramalan ini tidaklah 100 peratus tepat namun jika terdapat perbezaan dalam keputusan sebenar pun mungkin hanya satu atau dua peratus sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian peralatan sukan muay thai kepada Persatuan Kelab Tomoi Sri Geting, di sini, malam kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Jasa Kelantan, Hishamuddin Ab Rashid, Exco Pemuda Umno, Dr Fathul Bari Mat Jahya dan Pengerusi Kelab Tomoi Sri Geting, Rozen Ismail.

Dalam pada itu, Fuad menegaskan, kajian dibuat Jasa bukan hanya untuk pilihan raya tetapi turut melibatkan kajian lain seperti taraf hidup, komunikasi serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Sementara itu, beliau menjelaskan, sumbangan peralatan sukan muay thai kepada Kelab Tomoi Sri Geting bukan untuk memancing undi daripada pengundi muda pada PRK Dun Pengkalan Kubor.

"Terpulang kepada mereka untuk buat penilaian atau tafsiran. Kita tak boleh pengaruhi orang tetapi saya percaya bantuan kerajaan sebelum ini pun boleh dinilai oleh pengundi," katanya.

Beliau berharap peralatan sukan muay thai dapat menarik seramai mungkin anak muda untuk melibatkan diri dalam sukan tersebut yang dilihat berpotensi mengharumkan nama negara.