• Atlet Perlis, Daeng Dessy Dhabitha Dahasry ketika beraksi dalam perlawanan boling padang akhir kategori berpasangan wanita diantara Perlis menentang Sabah pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-17 di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di Kangar, hari ini. - Foto Bernama 
  •  Atlet Perlis, Daeng Dessy Dhabitha Dahasry ketika beraksi dalam perlawanan boling padang akhir kategori berpasangan wanita diantara Perlis menentang Sabah pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-17 di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di Kangar, hari ini. - Foto Bernama

ATLET boling padang Perlis, Daeng Dessy Dhabita Dahasry mengubati kekecewaan pulang dengan tangan kosong pada edisi Sukan Malaysia (Sukma) 2012 Pahang dengan menyumbang satu emas pada edisi ke-17 Perlis.
 
Dalam final acara Pairs wanita di sini hari ini, Daeng Dessy Dhabita berganding dengan Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman untuk mengalahkan pasangan Sabah Fatin  Aqilah Amran dan Siti Solehah Halim 15-12.
 
Pingat gangsa dimenangi bersama oleh gandingan Pulau Pinang, Norasyikin Yusoff/Nurjihan Mohamad dan Nur Ain  Nabilah Tarmizi/Nur Atiqah Hassan dari Wilayah  Persekutuan.
 
"Kemenangan ini tidak begitu mudah. Semasa dalam saingan peringkat kumpulan kami kalah kepada mereka 12-15.
 
"Masa turun ke gelanggang saya sudah berazam untuk menang pingat emas.  Selepas menyaksikan adik saya meraih pingat emas dalam acara Singles, saya berazam untuk turut meraih pingat emas di sini," kata atlet berusia 18 tahun itu kepada Bernama.
 
Pada Khamis lepas, adiknya Daeng Dhahyry, meraih pingat emas dalam acara Singles lelaki dan sekali gus pingat emas kedua kontinjen Perlis.
 
Bagaimanapun hari ini, Daeng Dhadyry yang bergandingan dengan Mohamad Fridaus Fawzi gagal memberikan kejayaan berganda buat Perlis apabila tewas kepada Mohammad Firdaus Mustapha dan Mohammad Lokman Mohd Isa dari Perak dengan 5-13 dalam kategori Pairs Lelaki.
 
Dalam acara Triples wanita, trio Terengganu berjaya menewaskan trio Melaka dengan 12-13, pingat gangsa menjadi milik Perak dan Selangor.
 
Kategori Triples lelaki pula menyaksikan trio Selangor menewaskan lawan mereka dari negeri Sembilan dengan 15-13, sementara pingat gangsa menjadi milik Johor dan Terengganu.
 
Kontinjen tuan rumah muncul selaku juara keseluruhan acara boling padang edisi ke-17 Sukma dengan dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa. - Bernama