Thursday 13 November 2014

Lawyers for Islam kaji keputusan mahkamah

Posted by Unknown  |  at  20:30 No comments




Lawyers for Islam kaji keputusan mahkamah
  •  Moeis (duduk, tiga, kiri), Presiden PGSM, Musa Awang (duduk, tengah) dan sebahagian ahli kumpulan Lawyers for Islam menunjukkan sokongan terhadap penubuhan itu, semalam.
SHAH ALAM - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menubuhkan kumpulan Lawyers for Islam bagi membantu kerajaan, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) dan institusi-institusi berkaitan Islam dalam mengkaji apa-apa keputusan mahkamah, termasuk menawarkan bantuan membentangkan aspek-aspek perundangan berkaitan dalam prosiding mahkamah.

Setiausaha PGSM, Moeis Basri berkata, penubuhan itu turut mengambil kira isu transgender di mana keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 adalah tidak sah di sisi Perlembagaan kerana ia mendiskriminasikan lelaki Islam yang menghidap masalah identiti gender dari segi perubatan.

Beliau berkata, pihaknya menghormati keputusan mahkamah, tetapi berpendapat keputusan itu perlu dirayu dan dibicarakan di Mahkamah Persekutuan untuk diberi pertimbangan semula dari segala aspek undang-undang yang sah dan terpakai di Malaysia.

"Kumpulan Lawyers for Islam akan mengadakan perjumpaan dengan responden kes itu bagi membantu dan meminta mereka segera memohon kebenaran untuk failkan rayuan mengikut tatacara mahkamah yang sepatutnya.

"Kita akan memohon kerjasama majlis agama Islam negeri lain untuk memfailkan permohonan mencelah dalam rayuan itu dan bekerjasama dengan pihak berkenaan dalam rayuan dibuat," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan kes itu dirayu agar isu itu diberi satu keputusan muktamad oleh mahkamah tertinggi negara, iaitu Mahkamah Persekutuan.

Berhubung ahli kumpulan itu, Moeis berkata, setakat ini, pihaknya mendapat 30 penyertaan dan mengalu-alukan lebih ramai peguam menyertainya bagi menyumbang tenaga serta kemahiran mereka.

Katanya, ahli kumpulan itu dianggotai peguam bela dan peguam cara yang beramal di mahkamah sivil, peguam syarie yang beramal di mahkamah syariah serta peguam dari badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, kumpulan itu juga akan bertindak sebagai 'rapid respons team' (RRT) yang akan memberi maklum balas mengenai isu-isu semasa yang berkaitan dengan perundangan Islam.

"Kita akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan, majlis agama Islam negeri lain dan institusi Islam bagi memperkenalkan kumpulan Lawyers for Islam serta menawarkan bantuan," katanya.

Share This Post

About the Author

berkongsi pelbagai cerita menarik melalui medium blogspot

Dapatkan Berita Terkini Melalui Email

Hanya Masukkan Email Anda Di Sini.

Related posts

0 comments:

© 2014 Murai dot coms. Like FB Murai Dot Coms Edited from Bloggertheme9
Blogger templates. Proudly Powered by Blogger.
back to top