BADMINTON tetap menjadi sandaran utama meraih pingat emas pertama negara walaupun tanpa Datuk Lee Chong Wei di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Katanya mereka telah mengenal pasti prospek pingat emas dalam badminton menerusi acara beregu lelaki dan wanita dan masih ada tempoh masa dua tahun untuk mempersiapkan gandingan negara.

"Sebagai langkah awal, kita betul-betul nak kenal pasti gandingan beregu yang serasi," katanya kepada pemberita selepas menjadi penceramah tamu pada Siri Kepimpinan anjuran Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata, sudah tiba masa untuk negara tidak lagi meletakkan sandaran kepada Chong Wei semata-mata tetapi sebaliknya sukan-sukan lain dikenal pasti sebagai prospek emas di Sukan Olimpik.

"Kita harap Chong Wei masih bersama kita (mewakili negara di Sukan Olimpik). Dia menjadi sandaran kita di Sukan Olimpik London (2012) dan Beijing (2008). Namun kita tidak boleh terus bergantung kepada Chong Wei," katanya.

Chong Wei, pemain nombor satu dunia, kini digantung sementara oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang 'dexamenthasone' ketika beraksi pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos lepas.

Mengenai dakwaan bekas pemain Razik Sidek bahawa Chong Wei telah lama menggunakan dadah seperti yang dijumpai dalam ujian doping di Copenhagen, Khairy berkata dakwaan itu adalah tidak bertanggungjawab.

"Dia (Razif) membuat dakwaan yang serius. Dia perlu tampil dan menunjukkan bukti...dia tidak boleh hanya membuat dakwaan seperti itu," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abd Aziz berkata, pihaknya kini sedang mengumpul segala maklumat berkaitan kes rayuan Chong Wei.

"Maklumat sedang dikumpul dan yang pastinya, segala maklumat perlu lengkap.

Selain daripada itu saya tidak boleh komen," katanya ketika ditemui pemberita pada Forum Pengukuhan Tadbir Urus Baik Sukan di Dewan Perdana ISN, Bukit Jalil.

Dr Ramlan berharap isu yang melibatkan Chong Wei ini menjadi panduan kepada atlet-atlet lain. - Bernama