KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mahukan rakyat melihatnya sama seperti institusi kewangan yang lain, melalui penyenaraian peminjam yang gagal membayar balik pinjaman ke dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) mulai 1 Januari 2015.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN, Mastura Mohd Khalid berkata, PTPTN berfungsi sebagai institusi yang memberi dan mengurus pinjaman kepada 2.1 juta peminjam.

"PTPTN ini bukan sahaja memberikan pinjaman, tetapi PTPTN juga perlu menguruskan pinjaman yang telah diberi dan perlu membuat kutipan balik pinjaman yang telah diberi.

Ini kerana PTPTN berfungsi sebagai institusi yang memberi pinjam kepada pendidikan tinggi. Jadi bayaran peminjaman ini kami perlukan untuk membolehkan kami memberi pula (pinjaman) kepada yang memerlukan," katanya selepas menjadi tetamu jemputan bagi program 'Dalam Radar' Radio24 Bernama, di sini, hari ini.

Pada 5 November lepas, Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, seramai 558,475 peminjam yang gagal membayar balik pinjaman akan disenaraikan dalam CCRIS dengan kerjasama Bank Negara.  

CCRIS merupakan sistem pangkalan data Bank Negara yang menyimpan maklumat kredit peminjam yang dilaporkan oleh institusi kewangan.

Mastura berkata, pada peringkat permulaan, penyenaraian itu hanya melibatkan 173,985 peminjam tegar yang tidak pernah membuat bayaran balik walaupun satu sen melebihi tiga tahun daripada tarikh pembayaran sepatutnya dibuat.

Katanya lagi, penyenaraian dalam CCRIS ini dilaksanakan selepas pelbagai langkah 'mesra pelanggan' yang diambil sebelum ini tidak berhasil dalam mengutip balik pinjaman berkenaan.

"Sebelum ini kami (PTPTN) mengambil langkah mesra pelanggan seperti menghantar notis, peringatan, membuat kempen-kempen, bekerjasama dengan AKPK (Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit) dan memberi taklimat.

"Kami juga melaksanakan langkah yang agak keras sikit dengan menyenaraihitamkan mereka dengan Jabatan Imigresen dan saman. Tetapi nampaknya tindakan tindakan ini tidak memberikan kesan kepada segolongan," katanya. - Bernama