• Dr Maszlee Malik
    Dr Maszlee Malik
1 / 1
SHAH ALAM - Pihak berkuasa agama negeri dan Pusat perlu segera mengeluarkan fatwa berhubung Kumpulan Negara Islam (IS).

Penganalisis Politik Tempatan dan Antarabangsa, Dr Maszlee Malik berkata, sehingga kini masih tiada pengesahan yang boleh dijadikan panduan oleh anak-anak muda.

"Isu ini melibatkan agama dan ia membawa kepada tindakan. Saya rasa pihak berkuasa agama negeri dan pihak berkuasa agama pusat, Majlis Fatwa Kebangsaan seperti mana yang dikatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (keluarkan fatwa).

"Beliau minta orang agama bercakap kerana perkara ini melibatkan agama. Minta mereka untuk menyatakan pendirian supaya menjadi garis panduan kepada anak muda kita, kepada orang Islam dan juga kepada orang bukan Islam yang celaru tak tahu apa-apa sebenarnya ini," katanya ketika diminta mengulas lanjut soal kenyataannya ketika menjadi panel pada Wacana Sinar Harian ke-32 bertajuk 'Kumpulan Islamic State (IS): Jihadis atau Militan?, di Auditorium Sultan Muhammad V, Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, semalam.

Sewaktu berhujah, Dr Maszlee menyebut pihak fatwa negeri sepatutnya mengeluarkan fatwa terhadap IS.

"Kalau IS ini ajaran sesat, keluarkan fatwa supaya kita boleh dakwa mereka ini dan bawa ke pemulihan dan sebagainya," katanya.

Tegasnya, pihak berkuasa agama senyap tanpa sebarang kenyataan tanpa diketahui sama ada menyokong atau sebaliknya kegiatan IS tersebut.

"Kita senyap adakah kita senyap itu sokong atau tidak sokong. Jadi, orang tak tahu.

"Macam bab anjing ini, semua komen tapi bila dalam kes yang melibatkan nyawa, darah anak-anak muda kita kenapa mereka diam seribu bahasa.

"Jadi, kita perlukan pihak negeri keluarkan fatwa berkenaan dengan isu ini," katanya.

Selain Dr Maszlee, wacana kali ini turut menampilkan barisan panelis terkemuka lain seperti bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Timbalan Presiden dan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Antarabangsa Pertubuhan Ikram Malaysia, Hasanuddin Mohd Yunus.

Wacana kali ini dikendalikan moderator yang juga Ahli Akademik serta Penganalisis Politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin.