• Khalid (dua, kiri) di Majlis Penghormatan kepada ‘Unsung Heroes’ Pasukan Penyelamat MH17, di Seremban, semalam.
    Khalid (dua, kiri) di Majlis Penghormatan kepada ‘Unsung Heroes’ Pasukan Penyelamat MH17, di Seremban, semalam.
1 / 1
SEREMBAN – Penyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan agar tidak mengganggu prosiding Mahkamah Persekutuan, hari ini dan esok.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, semua pihak perlu menghormati proses undang-undang negara.

“Saya terima maklumat ada NGO dijemput untuk hadir beramai-ramai di Mahkamah Persekutuan.  Ini adalah satu proses undang-undang biasa, kita semua patut beri ruang kepada mahkamah untuk bersidang dalam keadaan aman tanpa gangguan mana-mana pihak baik di dalam atau luar mahkamah.

“Mana-mana tidak berkenaan, tidak perlu ganggu mahkamah, biarlah mahkamah bersidang dengan aman dan buat keputusan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penghormatan kepada ‘Unsung Heroes’  Pasukan Penyelamat MH17 di Dewan Terbuka D’Sury, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampangan, di sini, semalam.

Menurutnya, polis sudah bersedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan yang akan berlaku pada hari perbicaraan.

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada hari ini dan esok akan bersidang bagi pendengaran rayuan Anwar terhadap hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.