•  Panglima ATM Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin - Foto Bernama
    Panglima ATM Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin - Foto Bernama
1 / 1
KOTA BHARU - Kegiatan merekrut rakyat negara ini untuk berjuang di Syria yang kononnya atas nama jihad merupakan satu ancaman buat negara, bukannya satu perkara enteng dan tidak boleh dibiarkan.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, jika perkara itu tidak dibanteras segera, dibimbangi lebih ramai rakyat negara ini akan terpengaruh untuk menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS).

“Ia perlu diberi perhatian serius dan sekiranya terdapat maklumat mengenai gerakan ini  perlu salurkan kepada pihak berkuasa bagi membanteras gerakan ini.

“Kumpulan ini perlu dikesan pada peringkat awal bagi mengenal pasti golongan yang terlibat serta menyekat tindakan agresif mereka yang akan menjejaskan kestabilan negara,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis Summer Camp siri 11/ 2014 di Kem Desa Pahlawan Kok Lanas, di sini.

Zulkifeli berkata, jika golongan itu bersama kumpulan berkenaan, mereka akan dilatih dari segi militan dan mempunyai semangat setia kawan yang tinggi serta sanggup bersama kumpulan terbabit walaupun berasal dari negara lain.

“Hal ini mewujudkan kebimbangan. Contoh wujudnya Jemaah Islamiah (JI) iaitu Al-Qaeda yang ditubuhkan hasil dari pengaruh rakyat Indonesia yang berjuang di Afghanistan.

“Jadi tidak mustahil perkara sama akan berlaku dan mereka (belia) juga akan wujudkan kumpulan IS ini secara senyap di Malaysia jika mereka pulang nanti,” katanya.

Dalam perkembangan kes terbabit, Zulkifeli berkata isu itu amat serius dan kerajaan sentiasa mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh menyertai kumpulan itu.

“Semua pihak jangan memandang mudah terhadap perkara itu sebaliknya perlu bersama pihak berkuasa untuk mengekang gerakan militan itu.

“Saya berharap perkara terbabit dapat ditangani kerana ia mampu mempengaruhi pelajar melalui laman web yang dilayari menerusi internet yang boleh menghasut golongan muda untuk menyertai gerakan ekstrem itu,” katanya.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, PDRM sudah mengenal pasti 39 rakyat Malaysia termasuk seorang wanita yang dikaitkan dengan gerakan militan itu dan kerajaan serius dalam menangani gerakan terbabit yang dipelopori golongan berpengaruh.

Terdapat tiga kumpulan militan yang disertai rakyat Malaysia di  Syria iaitu IS, Jabhat Al Nusra dan Ajnad Al Sham, dan  lazimnya mereka menggunakan ayat-ayat al-Quran dan ‘jihad’ semasa ‘mengumpan’ golongan sasaran.