• Dr Zulkifli Mohamad Albakri  
  • Dr Zulkifli Mohamad Albakri
1 / 1
PELAKSANAAN fiqh jihad di peringkat sekolah hanya boleh dilakukan jika semua pihak benar-benar memahami definisi subjek pembelajaran tersebut dengan jelas.

Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Albakri berkata, kefahaman itu sangat penting bagi memastikan keberkesanannya dalam usaha mengelakkan pelajar di negara ini terjebak dengan gerakan kumpulan militan yang kononnya berjihad atas nama Islam.

"Pertama sekali, kefahaman tentang maksud jihad perlu jelas. Jika maksud jihad disalah tafsir, kita juga akan terikut-ikut tersalah tafsir," katanya ketika ditemui selepas sesi Wacana Sinar Harian ke-32 yang bertajuk ‘Kumpulan Islamic State (IS): Jihadis atau Militan? di sini, semalam.

Beliau berkata, apa yang menjadi masalah sekarang, penggunaan istilah jihad dimanipulasi dan digunakan dengan sewenang-wenangnya oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

"Golongan tersebut (yang memanipulasi) menyatakan mereka sebenarnya yang berjihad tetapi tersasar dari mafhumnya,” katanya.

Beliau berkatya demikian ketika mengulas kenyataan Dr Maszlee Malik yang mencadangkan fiqh jihad dimasukkan dalam sistem pendidikan negara bagi membendung kegiatan militan di negara ini.

Beliau berkata, definisi jihad itu sendiri sangat luas.

Oleh itu katanya, cadangan pelaksanaan 'fiqh jihad' perlu dipertimbangkan sewajarnya, sebelum ia dijadikan mata pelajaran di peringkat sekolah.

Sementara itu, ketika diminta mengulas berhubung dakwaan Maszlee mengatakan Majlis Fatwa Kebangsaan terlalu sibuk dengan perkara remeh-temeh berkaitan isu anjing berbanding perkara lebih penting seperti IS, Dr Zulkifli berkata, pihaknya cukup prihatin terhadap semua isu yang berlaku dalam negara.

"Kita tidak memilih isu dan kita pantau semua perkara dari semasa ke semasa terutamanya isu yang berlaku di Syria dan Mesir," katanya.