• PDRM
1 / 1
KOTA BHARU - Tiga anggota polis yang cedera dalam kejadian tembak-menembak di sebuah rumah di Kampung Banggol Telipot, Pasir Puteh kelmarin, dilaporkan semakin pulih.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kelantan, Asisten Komisioner Dahlan Mohd Noor berkata, keadaan ketiga-tiga anggota polis berkenaan yang kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, semakin baik.

"Mereka (anggota) dijangka keluar dari hospital pada petang ini atau selewat-lewatnya pagi esok (hari ini)," katanya ketika di hubungi di sini, semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Penjenayah paling dikehendaki ditembak mati]

Ketiga-tiga anggota terbabit ialah Koperal Zulkifli Mat Din, Koperal Zahari Abd Hamid dan Inspektor Shukri Hassan.

Zulkifli cedera di pergelangan tangan kiri, Shukri di bahagian paha kiri dan Zahari di bahagian perut kanan.

Kelmarin, dua penjenayah ditembak mati manakala tiga anggota polis cedera dalam satu kejadian tembak-menembak di sebuah rumah di Kampung Banggol Telipot,
Pasir Puteh.

Penjenayah yang mati di tempat kejadian dikenali sebagai Hatim Mohd Zain, 25, berasal dari Kampung Padang Lati Hilir, Bachok dan memiliki rekod jenayah
berkaitan bunuh.

Seorang lagi dikenali sebagai Mohamad Hafiz Saupi, 25, dari Kampung Marak, Kota Baharu. Dia tidak mempunyai rekod jenayah tetapi dipercayai terbabit dalam
kes dadah.

Polis percaya telah menyelesaikan dua kes bunuh, tiga kes cuba bunuh dan dadah di negeri Kelantan. - Bernama