• Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa. Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa.
1 / 1
SHAH ALAM – Golongan pendakwah perlu memahami konsep dakwah yang betul dalam usaha mendekati masyarakat majmuk di negara ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, pendekatan dakwah Islam terhadap masyarakat di negara ini perlu dikaji semula dengan mengambil kira keadaan dan situasi semasa.

“Pendekatan dakwah yang lebih memfokuskan kepada sasaran dan bersifat praktikal yang perlu dianalisis secara ilmiah.

“Kita dalam abad ini seharusnya mengambil iktibar daripada fasa perkembangan Islam yang dilakukan oleh baginda Rasulullah S.A.W. iaitu Islam dikembangkan bermula dengan pembangunan aqidah yang mantap dalam konsep tauhid, kemudian dibangunkan pula dalam bentuk yang lebih holistik mencakupi pelbagai cabang yang lain,” katanya melalui ucapan di sesi Dialog Fatwa Perdana 2014 yang berlangsung di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, hala tuju dakwah perlu disatukan dan diberi nafas baru dalam penyampaian mesej Islam supaya semangat kesatuan boleh dipupuk.

“Dalam menghadapi cabaran, umat Islam haruslah merancang agenda yang lebih bercorak futuristik, iaitu berdasarkan kepada perkembangan dan pembangunan yang akan berlaku pada masa kini dan akan datang.

“Menyedari tentang kekurangan ini, satu gagasan pemikiran yang bernas perlu diketengahkan oleh umat Islam dalam rangka mencari satu formula terbaik bagi membangunkan ummah secara bersepadu," ujarnya lagi.

Turut hadir bagi sesi dialog tersebut ialah Ahli Jawatankuasa Fatwa Jabatan Mufti Negeri Selangor, Prof. Madya Datuk Mohd Mokhtar Shafii dan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid.