Hujan batu tembusi bumbung
Ia juga pastinya mencatatkan sejarah kerana itulah kali pertama hujan batu yang bersaiz mencecah dua sentimeter berlaku di kampung berkenaan dan menimbulkan kebimbangan kepada penduduk jika ia berulang pada masa akan datang.
Dua tahun lalu, kejadian sama pernah berlaku tetapi saiz hujan batu agak kecil. Kejadian kali ini juga menyebabkan tujuh bumbung rumah rosak.
Seorang penduduk kampung, Samihah Abdul Samad, 39, yang cedera di tepi hidung berkata, dia tidak menyangka hujan batu boleh terpelanting masuk ke dalam kedainya.
"Tepi hidung saya berdarah akibat terkena hujan batu. Tidak sangka pula sehingga cedera sedangkan ketika itu saya berada di dalam kedai.
"Mujur, luka kecil sahaja dan tidak memudaratkan. Pada mulanya, saya ingatkan biji getah yang terpelanting masuk ke dalam kedai tetapi selepas mengamatinya, baru mengetahui ketulan ais yang terkena tepi hidung," katanya.
Menurutnya, ketika kejadian hanya seorang pelanggan berada di dalam kedai kerana hujan agak lebat.
"Saya pula berada di kaunter. Terkejut juga kerana hujan batu boleh terkena saya sedangkan jarak kaunter dan hadapan kedai agak jauh.
"Kejadian terkena hujan batu ini tidak akan dilupakan sepanjang hayat walaupun hanya mengalami kecederaan ringan," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
0 comments: