• Ahmad Yakob  
  • Ahmad Yakob
1 / 1
PENGKALAN KUBOR - Penasihat Jawatankuasa Operasi Pas PRK Dun Pengkalan Kubor, Datuk Takiyuddin Hassan menyangkal dakwaan yang mengatakan Pas Kelantan akan jatuh selepas bekas Menteri Besarnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Kelantan.

Takiyuddin berkata, di bawah pimpinan Datuk Ahmad Yakob, ‘wajah’ pimpinan Nik Aziz tetap ada cuma ditambah baik dari masa ke masa.

“Tidak pernah ada ucapan daripada mana-mana pimpinan Pas yang mengatakan bahawa Pas Kelantan akan jatuh selepas Tok Guru lepaskan jawatan MB.

“Lagipun Tok Guru masih seorang Adun (Cempaka), beliau juga masih Mursyidul Am , beliau masih berada dalam pimpinan Pas dan pimpinan negeri Kelantan.

"Insya-ALLAH kerajaan yang ada ini dapat memimpin Kelantan," katanya pada sidang media di Pusat Media Pas di Pengkalan Kubor, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai laporan yang  menyebut bahawa terdapat kenyataan daripada segelintir pimpinan Pas yang mengatakan Kelantan bakal jatuh selepas pelepasan jawatan oleh Abdul Aziz sebagai Menteri Besar.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama Takiyuddin turut melancarkan slogan bagi calon Pas Wan Rosdi Wan Ibrahim.

Slogan yang berbunyi  "Dulu Datuk Di, loni (sekarang) Tok Wan Di direka bagi menarik perhatian pengundi pada PRK tersebut.

"Kita rasa slogan ini tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak serta mesra pengundi," katanya.

Hari pengundian PRK Dun Pengkalan Kubor jatuh pada 25 September.

PRK Pengkalan Kubor akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru yang melibatkan calon Bebas,Izat Bukhary Ismail Bukhary, calon  BN Mat Razi Mat Ail dan Wan Rosdi Wan Ibrahim daripada Pas.