'Tak sangka itu permintaan terakhirnya...'
SHAH ALAM – Ibu kepada Muhamad Hafiz Abd Ghani,17, yang mati dipercayai
dipukul bapanya meluahkan rasa terkilan kerana tidak dapat memenuhi
permintaan terakhir mangsa yang mahu berjumpa keluarga angkat yang
membesarkannya selama ini.
Bercakap kepada Sinar Harian Online, ibu mangsa, Siti Habibah Ismail,
38, berkata sebelum kejadian, mangsa tidak menunjukkan tanda-tanda pelik
namun ada menyatakan hasrat untuk berjumpa dan meluangkan masa bersama
keluarga angkatnya pada Ramadan ini.
“Sebelum itu, dia ada cakap pada saya yang dia mahu berjumpa dengan keluarga angkatnya.
“Saya tidak sangka itu adalah hasrat terakhirnya,” luah Siti Habibah.
Muhamad Hafiz hanya mula tinggal bersamanya sekeluarga tahun lalu
selepas dibesarkan oleh keluarga angkat sejak umurnya 15 hari.
Menurutnya, Muhamad Hafiz adalah seorang anak yang patuh dan pendiam, dia juga tidak pernah melawan.
Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, Muhamad Hafiz maut dipercayai
dipukul bapanya dengan sebatang kayu di Kampung Jawa, Alor Gajah selepas
menyatakan hasrat untuk bekerja bagi membantu menyara keluarga.
Difahamkan, bapanya yang berusia 52 tahun itu berang dan berasa
tercabar dengan hasrat yang dinyatakan mangsa sebelum bertindak memukul
belakang mangsa berulang kali sehingga tidak sedarkan diri.
Mangsa yang merupakan anak sulung daripada 10 beradik itu tidak mampu melawan dan hanya mampu menahan kesakitan.
Menurut Siti Habibah lagi, dia cuba menghalang tindakan suaminya
daripada terus memukul anak sulung mereka, namun dia pula yang diugut
suami.
“Tiap kali saya cuba halang suami, dia akan tolak saya dan ugut saya
supaya jangan masuk campur, begitu juga dengan adik-adik Hafiz yang
lain, masing-masing tidak berani kerana takut turut dipukul oleh bapa
mereka,” katanya lagi.
Tambahnya, mangsa yang lemah menahan kesakitan langsung tidak menjamah hidangan berbuka puasa.
Mangsa diangkat masuk ke dalam bilik pada jam 9 malam dan kematiannya
hanya disedari Habibah ketika mangsa dikejutkan untuk bersahur.
Bapa remaja berkenaan yang merupakan suspek utama kejadian bertindak
melarikan diri sebelum ditahan di sebuah rumah sewa di Jalan Melekek,
Kampung Padang Alor Gajah kira-kira jam 2.30 pagi semalam.
Dia direman tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302
Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan niat dan boleh membawa hukuman
mati jika disabitkan kesalahan.
0 comments: