• JPJ 
  •  JPJ

SHAH ALAM - Susulan rombakan sistem ujian memandu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula tahun depan selepas gejala lesen gerenti lulus terbongkar, Majlis Piawaian dan Pemodenan Industri Memandu Malaysia (Mapim) menggesa kerajaan melibatkan mereka dalam membangunkan sistem baharu itu.

Presidennya, Datuk Hanafi Mat Zin berkata, pihak industri perlu dilibatkan dengan sistem baharu itu memandangkan kos penambahbaikan sistem sedia ada perlu ditanggung oleh institut memandu sendiri dan bukannya kerajaan (JPJ).

"Kami bersetuju dengan cadangan menteri pengangkutan untuk membangunkan sistem pengesan kesalahan ketika pengujian memandu.

"Namun kita menggesa kerajaan supaya sistem itu dibangunkan bersama pihak industri (Mapim) berdasarkan keperluan teknikal yang disediakan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Mapim Selangor dan Kuala Lumpur di Hotel De Palma, di sini, hari ini.

Awal bulan ini, media perdana membongkarkan mengenai gejala sogokan yang berlaku dalam proses mendapatkan lesen memandu membabitkan pengajar dan pegawai penilai JPJ.

Sistem ujian memandu itu yang menggunakan teknologi pengesan kesalahan berkomputer bagi mengurangkan penyelewengan dalam prosedur itu dijangka siap April 2015.

Malah semua kesalahan khususnya dalam bahagian dua ujian praktikal kemahiran calon memandu akan dikesan dan direkodkan secara automatik.

Mengulas lanjut, Hanafi menambah, menerusi sistem baharu itu, integriti dan profesionalisme jurulatih dan penguji JPJ akan dapat dipulihkan akibat penyelewengan tersebut mencalarkan institut memandu lain yang mematuhi prosedur JPJ.

"Saya akui kes sebegini sudah lama, namun ia dilakukan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan di atas kelemahan sistem JPJ sedia ada.

"Program membanteras penyelewengan itu akan lebih berkesan jika pihak industri dilibatkan secara berstruktur melalui Mapim," katanya lagi.