• SPRM
    SPRM

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) mengingatkan orang ramai supaya tidak takut memberi sebarang maklumat berhubung jenayah rasuah.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 akan memberi perlindungan kepada pemberi maklumat daripada sebarang tindakan mnemudaratkan akibat pendedahan yang dibuat.

"Identiti pemberi maklumat serta maklumat yang diberikan adalah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan kepada sesiapa pun termasuk semasa perbicaraan di mahkamah.

"Pemberi maklumat tidak boleh dikenakan apa-apa tindakan sivil, jenayah atau tatatertib akibat daripada pendedahan berkenaan," katanya dalam satu sidang media di Akademi Pencegahan Jenayah, hari ini.

Beliau berkata, SPRM menerima sebayak 5,000 maklumat berhubung rasuah setiap tahun.

Menurutnya,  kesemua maklumat tersebut adalah maklumat yang dikenal pasti ada asas selepas pihaknya melakukan proses semak dan saring.

"Kesemua maklumat itu mula disalurkan oleh pemberi maklumat kepada SPRM sejak Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dikuatkuasakan pada 15 Disember 2010.

"Biasanya setiap tahun kita menerima antara 10,000 ke 12,000 maklumat yang dihantar melalui emel dan surat oleh pemberi maklumat," katanya.