• Tan Sri Muhyiddin Yassin
    Tan Sri Muhyiddin Yassin

ALOR SETAR - Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel terhadap umat Islam di Palestin kerana ia merupakan tindakan zalim mengikut nafsu dan berniat jahat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu telah lama berlarutan walupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan PBB telah membuat ketetapan supaya Israel menghentikan kekejaman dan keganasan ke atas rakyat Palestin.

Beliau berkata banyak perkara yang wajar dilakukan telah diputuskan oleh pihak yang terbabit dalam menyelesaikan konflik di Palestin termasuk Israel tetapi rejim itu tidak mematuhinya.

"Mereka tak mengendahkan langsung tuntutan suara masyarakat global dan terus ambil tindakan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

"Mereka bertindak zalim menyebabkan ratusan ribu, jutaan rakyat Palestin terbunuh termasuk kanak-kanak, dan ada menjadi pelarian," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran model pendidikan Islam Ulul Albab di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah di Mergong, di sini, hari ini. - Bernama