• Khairy Jamaluddin
    Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR - Sudah tiba masanya kerajaan Malaysia mengenakan caj permit kemasukan kenderaan (VEP) kepada kenderaan berpendaftaran luar negara seperti dari Singapura.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, wujud layanan tidak seimbang apabila kerajaan Singapura menaikkan caj tanpa memikirkan kesan kepada rakyat Malaysia.

“Sepatutnya mereka (Singapura) menurunkan caj ini dan saya telah membuat ketetapan menyokong tindakan Pemuda Umno Johor yang ingin melaksanakan caj VEP kepada Singapura.

“Apa salahnya jika kita mendapat hasil dari Singapura yang selama ini mengutip hasil daripada rakyat kita yang masuk ke sana," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Menurutnya, beliau akan membawa isu itu ke mesyuarat Kabinet untuk mencadangkan kepada kerajaan supaya mempercepatkan perlaksanaan VEP.

Khairy juga mencadangkan kerajaan menguatkuasakan saman terhadap pesalah trafik Singapura.

“Memandangkan selama ini mereka tidak membayar saman trafik, saya harap mereka yang melakukan kesalahan ini tidak dapat masuk ke Malaysia sehingga mereka membayar saman berkenaan,” katanya.

Khairy menambah, pelaksanaan VEP perlu dilakukan secara serius kerana jika tidak, kerajaan akan gagal untuk menguatkuasakan caj berkenaan.

Ditanya berkenaan impak kepada sektor perlancongan dan ekonomi di Johor, beliau berkata, pelaksanaan VEP tidak akan memberi sebarang kesan kepada ekonomi negeri itu.

“Rakyat Singapura tetap akan datang ke Malaysia walaupun kita mengenakan caj kepada mereka kerana kos sara hidup serta nilai wang kita lebih rendah daripada mereka.

“Soal nilai caj (yang perlu ditetapkan) itu kami serahkan kepada Kerajaan Persekutuan dan berharap kerajaan mengkaji jumlah yang sebaiknya,” katanya.