• Datuk Chua Tee Yong
    Datuk Chua Tee Yong

PUTRAJAYA - Kerajaan serius dalam menangani hutang negara dan berusaha ke arah meningkatkan pertumbuhan ekonomi, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong.
  
Beliau berkata walaupun jumlah hutang itu agak tinggi, ekonomi negara masih mempunyai ruang untuk diperbaiki bagi memastikan kadar pertumbuhan negara bergerak secara sihat dan tidak akan menjejaskan Bajet 2015.
  
Katanya kenyataan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) bahawa prestasi kewangan kerajaan pada suku pertama tahun ini adalah lemah dan hutang negara telah melebihi siling adalah tidak tepat.

"Kalau kita lihat analisis-analisis sama ada daripada bank dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) atau agensi penarafan, mereka tidak memberi gambaran seperti MIER.
  
"Memang terdapat ruang untuk dibaiki bagi memastikan kadar pengangguran rendah dan keadaan fiskal negara dijaga," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kumpulan sasar sesi terakhir bertajuk 'Memperkukuhkan Kualiti Pelaburan Swasta' di sini hari ini. 
  
Beliau berkata kerajaan mempunyai jawatankuasa fiskal yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengawal dan memastikan kadar fiskal negara terjaga.
  
"Kerajaan pandang serius hal ini, jawatankuasa ini ditubuhkan sebelum (jawatankuasa) Bajet 2015, ia akan melihat supaya kadar pertumbuhan negara sihat, kadar pengangguran rendah, menggalakkan pelaburan domestik dan antarabangsa serta melihat subsidi dan perbelanjaan negara dijalankan dengan baik," katanya.
  
Semalam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah menolak laporan sebuah portal berita yang memetik kenyataan MIER bahawa kewangan kerajaan lemah dan hutang melebihi tahap siling.
  
Beliau yang menyifatkan laporan itu sebagai mengelirukan dan tidak benar berkata kedudukan kewangan negara semakin kukuh. - Bernama