Abdul Gani Patail
Abdul Gani Patail

KUALA LUMPUR - Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Abdullah Zaik Abd Rahman; Adun Seri Delima, RSN Rayer dan dua lagi akan didakwa di beberapa Mahkamah Sesyen esok di bawah Akta Hasutan 1948.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, dua lelaki lagi ialah J Gopinath dan Hidayat Mohamed.

Keempat-empat lelaki itu akan didakwa berhubung pernyataan atau penerbitan menghasut, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bekas Ketua Perhubungan Umno Bayan Baru, Datuk Mohd Ridzwan Bakar dan 14 lagi serta seorang yang masih bebas pula akan didakwa di Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang esok bagi kesalahan menceroboh masuk Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Abdul Gani berkata, Abdullah Zaik akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kajang kerana menyebut perkataan menghasut berhubung kenyataan bahawa kedatangan pendatang Cina bersama penjajah British adalah satu bentuk pencerobohan yang diterbitkan dalam satu artikel di laman web Isma iaitu www.simaweb.net.

Gopinath pula akan dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang bagi kesalahan menerbitkan satu penerbitan menghasut melalui satu kenyataan di akaun facebooknya yang menghina ALLAH SWT dan Nabi Muhammad SAW.

"Hidayat akan dituduh di Mahkamah Sesyen Klang bagi kesalahan menerbitkan penerbitan menghasut melalui satu kenyataan di akaun facebooknya yang menghina penganut agama Hindu semasa perayaan Thaipusam pada 17 Januari 2014," katany.   

Rayer pula akan didakwa di Mahkamah Sesyen George Town bagi kesalahan menyebut perkataan menghasut semasa sesi perbahasan di dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Abdul Gani berkata, selepas mempertimbang undang-undang dan fakta berhubung kejadian-kejadian itu serta keterangan yang ada, Jabatan Peguam Negara telah memutuskan untuk mendakwa mereka.

Beliau berkata, permohonan waran tangkap telah dikeluarkan bagi mengemukakan mereka untuk didakwa di mahkamah esok. - Bernama