Jabatan Kastam Diraja Malaysia
Jabatan Kastam Diraja Malaysia

SHAH ALAM - Sebahagian pegawai Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengakui kurang mahir mengendalikan mesin pengimbas kargo, lapor Ketua Audit Negara.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 itu juga, terdapat dua daripada 16 mesin pengimbas kargo yang mempunyai kadar kerosakan tinggi iaitu 11.8 peratus dan 15.6 peratus setahun atau masing-masing tidak berfungsi sebanyak 86 dan 171 hari dalam tempoh dua dan tiga tahun.

“Selain itu, sebanyak 31 peratus daripada pegawai mengakui kurang mahir dalam mengendalikan mesin pengimbas kargo dan 81 peratus daripada mereka mengakui kurang mahir dalam menyelesaikan masalah apabila berlaku kerosakan kecil.

“Ini boleh memberi impak kepada proses taksiran dan pelepasan dagangan serta mengesan ketirisan hasil,” kata Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Kastam telah mula guna mesin pengimbas sejak 2001 bagi mengimbas kandungan yang terdapat dalam kargo yang diimport atau dieksport dan pemeriksaan terhadap penumpang di lapangan terbang, sempadan dan pelabuhan.

Beliau mengesyorkan Jabatan Kastam menyediakan laporan tahunan berkaitan kadar kerosakan mesin pengimbas supaya prestasi (tahap boleh guna) setiap mesin pengimbas kargo dapat dinilai.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar jabatan tersebut memastikan terma kontrak penyenggaraan mesin pengimbas yang akan datang mempunyai skop penyenggaraan pencegahan yang memadai serta butiran harga kos penyenggaraan bulanan yang terperinci mengikut skop kerja.