• Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin pada sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Waris MH370 di Wisma Putra di Putrajaya, hari ini. - Foto Bernama
    Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin pada sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Waris MH370 di Wisma Putra di Putrajaya, hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Pengerusi Jawatankuasa Waris Penumpang MH370, Datuk Hamzah Zainuddin hari ini memaklumkan bahawa setiap waris penumpang MH370 akan menerima sebanyak USD50,000 sebagai wang pembayaran awal.

Hamzah yang juga merupakan Timbalan Menteri Luar Negeri berkata, setakat ini seramai tujuh keluarga waris penumpang sudah mendapat wang pembayaran awal tersebut.

"Enam  keluarga waris telah menerima wang tersebut iaitu keluarga waris dari Malaysia, sementara seorang lagi keluarga waris penumpang di China," katanya ketika sidang media di Kementerian Luar di Putrajaya, hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Hamzah menjelaskan bahawa kesemua bayaran akan dibuat selepas kes kehilangan pesawat itu diisytiharkan berakhir.

"Bayaran seterusnya akan dibuat selepas isu ini berakhir," katanya.

Sementara itu, beliau menggesa waris penumpang yang menghantar surat untuk mengetahui perkembangan terkini pesawat MH370 supaya berdepan sendiri dengannya, sama ada secara berkumpulan atau individu.

"Saya sebagai pengerusi jawatankuasa ini bersedia untuk membantu mereka.

"Saya juga mewakili kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib dan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Husein sentiasa telus memberi informasi sejak hari pertama kejadian lagi," katanya.

Pesawat Boeing 777-200ER itu hilang dari radar pada 8 Mac lalu selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing, China.

Ia membawa 227 penumpang termasuk dua kanak-kanak dan 12 anak kapal.

Namun sehingga, pesawat MH370 masih belum ditemui.