Tengku Abdullah

KUALA LUMPUR - Bekas setiausaha agung Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) Datuk Dr Peter Velappan yakin presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baru dilantik Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mampu membawa perubahan besar dalam arena bola sepak tempatan.
Velappan yang juga bekas penolong setiausaha agung  FAM berkata Tengku Abdullah adalah tokoh sesuai untuk menggantikan ayahanda baginda Sultan Ahmad Shah kerana baginda telah menyediakan pelan induk strategik untuk membawa bola sepak Malaysia ke tahap lebih tinggi pada tahun-tahun akan datang.

"Saya amat gembira dengan perubahan dalam FAM kerana Tengku Abdullah adalah seorang tokoh yang progresif dan saya yakin bawah kepimpinan baginda, kita mempunyai peluang untuk menyaksikan Malaysia menjadi kuasa bola sepak (di Asia)," katanya semasa ditemui pemberita selepas majlis pengenalan logo Piala Dunia Bola Sepak Bersatu Olimpik Khas 2014 oleh Tunku Muinuddin Putra Tunku Ahmad Nerang yang mewakili Raja Puan Besar Perak, Tuanku Raja Zara Salim di Kelab Diraja Selangor di sini hari ini.

Tunku Muinuddin ialah cucu perdana menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Berkongsi pandangan yang sama, lagenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun turut yakin kepimpinan baharu FAM mampu membawa perubahan dalam bola sepak tempatan.
Beliau berkata pentadbiran baharu FAM perlu memberikan fokus bagi memperbaiki pencapaian skuad Harimau Malaya yang merosot sejak beberapa tahun ini.

"Saya harap Tengku Abdullah dapat melakukan rombakan dalam jawatankuasa kecil dalam FAM bagi memastikan tahap skuad bola sepak negara (kembali) disegani di rantau Asia," katanya.
Bekas ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal pula berpendapat bahawa kepimpinan baharu FAM mampu memberikan sinar baharu dalam melonjakkan bola sepak negara ke pentas yang lebih tinggi.

"Bukan hanya presiden tetapi ahli jawatankuasa FAM yang lain perlu bekerjasama dalam memastikan bola sepak negara terus maju ke hadapan.

"Kita harus menyokong sesiapa sahaja yang dilantik...kalau mereka berbeza fikiran dan pandangan, (bola sepak negara), tidak akan pergi ke mana-mana," katanya.

Pada kongres FAM ke-50 yang diadakan pada Ahad, Tengku Abdullah yang merupakan penyandang Timbalan Presiden FAM mengalahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan kiraan 27 berbalas 12 undi menerusi dua pusingan undian.

Penyandang presiden Sultan Ahmad Shah yang menarik diri pada saat-saat akhir bagi jawatan berkenaan, dilantik sebagai Presiden Kehormat Seumur Hidup FAM. - Bernama