Logo Halal

SHAH ALAM - Timbalan Pengerusi 1 Pas Pusat, Nasrudin Hassan melahirkan rasa kesal di atas pengesahan dua sampel produk keluaran Cadbury Dairy Milk iaitu Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond yang mengandungi DNA babi (Porcine)  yang jelas mencabar kewibawaan status halal Jakim.

Menurutnya yang merangkap Ahli Parlimen Temerloh, kenyataan Jakim yang sebelum ini menegaskan bahawa pensijilan halal Malaysia adalah membabitkan proses pengauditan dan pemeriksaan yang ketat kini mula diragui.

"Pada Mac lalu, negara sudah dikejutkan dengan laporan 1.3 juta ekor ayam yang disembelih setiap harii di 2,000 pusat penyembelihan ayam di seluruh negara diragui status halalnya, dan kali ini kita dikejutkan dengan isu DNA babi dalam makanan kita.

"Isu ini mencalar imej Malaysia sebagai sebuah negara yang telah diiktiraf sebagai peneraju pembangunan industri halal dan diberi kepercayaan mengetuai rundingan dalam kalangan negara Islam bagi mewujudkan standard halal universal, ianya akan memberi kesan serta implikasi negatif kepada umat Islam, pengambilan bahan makanan haram mempengaruhi tingkah-laku khususnya aspek spiritual mereka," katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Menurutnya  lagi, usaha umat Islam untuk memenuhi kriteria ‘halalan thoyyiba’ pada sudut pemakanan disia-siakan dengan pengambilan produk berkenaan tanpa sedar disebabkan kesilapan dan kecuaian pihak-pihak tertentu.

Justeru, beliau mengambil langkah mendesak pihak kerajaan dan Jakim untuk mengambil tindakan proaktif dan afirmatif dengan melakukan pemeriksaan mengejut secara besar-besar kepada semua pengeluar produk makanan khususnya kepada syarikat pengeluar makanan yang telah diberikan sijil halal oleh Jakim sebelum daripada ini.

Tambahnya lagi, tindakan tegas seperti denda dan pembatalan sijil halal dan lesen pernigaan perlu dibuat terhadap pihak yang tidak mematuhi standard yang telah ditetapkan.