Ibu saudara 5 beradik yatim piatu kesal difitnah
Pengerusi
Yayasan Kebajikan Negara, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (kiri)
menyampaikan sumbangan kepada anak sulung pasangan suami isteri yang
maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Loke Yew Cheras, Jumaat lepas Mohd
Haikal Jefri, 16, (tengah) sambil diperhatikan oleh adik-adiknya semasa
kunjungan beliau ke Kampung Rahmat, Cangkat Sulaiman di Sungkai, hari
ini. - Foto Bernama
SUNGKAI - Ibu saudara kepada lima beradik yang kehilangan ibu bapa
mereka dalam kemalangan Jumaat lepas, melahirkan rasa kesal dan kecewa
kerana terdapat pihak menabur fitnah bahawa keluarganya akan menghantar
lima beradik itu ke rumah anak yatim dan mengambil semua duit sumbangan.Junaida Mohd Zain, 42, berkata beliau meminta pihak berkenaan agar menghentikan segala fitnah yang disebarkan melalui laman sosial Facebook itu.
"Kami ada perasaan...jangan cakap macam tu, lima beradik ini adalah darah daging kami. Walau apa pun terjadi kami tak kan pisahkan mereka, kami adik beradik boleh jaga mereka," katanya ketika ditemui di Kampung Rahmat, Changkat Sulaiman di sini hari ini.
Seorang lagi ibu saudara lima beradik itu, Zainah, 44, mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan pihak yang melakukan penipuan dengan meminta derma untuk lima beradik itu melalui Facebook.
"Kepada sesiapa yang mahu derma hubungi saya terlebih dahulu, jangan mudah percaya dengan kutipan derma di Facebook," katanya yang mempunyai tiga orang anak.
Sementara itu, Muhd Haikal Jefri, 16, berkata dia dan adik-adiknya akan terus tinggal di Cheras, Kuala Lumpur dan mereka akan dijaga oleh ibu saudara yang tinggal berdekatan dengan rumahnya.
"Adik saya yang bongsu kadang-kadang merengek cari mak saya, dia kata mak dan ayah ada di sini," katanya dengan sayu.
Dalam kejadian pada 7.30 pagi itu, juruteknik Jefri Mohd Zain, 50, dan isterinya Noorsalawati Ibrahim, 40, terbunuh ketika dalam perjalanan ke tempat kerja menaiki motosikal setelah digilis sebuah lori dalam kejadian langgar lari berhampiran susur ke Cheras, di Jalan Loke Yew.
Pasangan itu meninggalkan lima anak - Muhd Haikal, 16, Fatin Adlina, 14, Mohd Aidil, 10, Norsyamini, 4, dan Nor Auni Safia, 3. - Bernama
0 comments: