FAM turut temuduga bekas jurulatih Mozambique
Datuk Subahan Kamal
Beliau berkata jurulatih itu Gert Engels yang merupakan bekas pemain antarabangsa Jerman adalah antara calon terbaharu yang sedang ditemuduga.
"Memang ada beberapa orang yang kita sedang temuramah, contohnya Gert Engels dari Jerman. Kita akan adakan satu sidang media khas Jun ini bagi memperkenalkan ketua jurulatih negara yang baharu.
"Kita ada tiga, empat nama yang sudah anda (media) tahu, tetapi tunggulah sehingga Jun nanti, baharu kita umumkan siapa yang dipilih sama ada jurulatih tempatan atau asing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel kejurulatihan anjuran FAM-FIFA di sini hari ini.
Beliau berkata keputusan mengenai perkara berkenaan akan dimaklumkan selepas berakhirnya Kongres Tahunan FAM ke-50 yang dijadual berlangsung di Shah Alam, 25 Mei ini.
Media sebelum ini melaporkan beberapa nama yang dikatakan berminat untuk mengisi jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya selepas FAM memutuskan untuk tidak menyambung kontrak Datuk K. Rajagobal yang berakhir pada 31 Disember tahun lepas.
Antaranya bekas jurulatih Thailand Peter Reid, bekas pengurus Aston Villa,David O' Leary, bekas pengurus AS Roma, Zdenek Zeman, bekas jurulatih India, Bobby Houghton dan bekas penasihat Fiorentina, Fabio Lopez.
Dalam pada itu Subahan menyerahkan kepada anggota gabungan FAM untuk menentukan nasibnya pada kongres tahunan FAM bagi memilih anggota exco bagi penggal 2014-2018.
Beliau yang bertanding jawatan Timbalan Presiden bakal dicabar Datuk Seri Afandi Hamzah yang juga Naib Presiden selain Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor Datuk Abdul Mokhtar Ahmad.
"Tidak kira siapa yang dipilih nanti, tetapi yang penting kita harus menyumbang kepada pembangunan bola sepak negara dan saya hanya menawarkan diri.
"Soal saya terpilih atau tidak, itu terpulang kepada ahli gabungan untuk menentukan nasib saya. Kalau dipilih Alhamdulillah. Yang pentingnya kita kena beri kepercayaan kepada para perwakilan untuk membuat pilihan terbaik mereka," kata Subahan.
Kerusi Presiden pula dijangka menyaksikan persaingan antara penyandangnya, Sultan Ahmad Shah, timbalannya Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Sejumlah 31 jurulatih terlibat dengan bengkel selama seminggu itu bagi mencungkil bakat muda yang berpotensi dengan dikendalikan Pengurus Pendidikan Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Hong Kong (HKFA), Chan Hui Ming. - Bernama
About the Author
0 comments: