Ahmad Said   
Ahmad Said

KEMAMAN - Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said hari ini mengesahkan beliau menarik kembali keputusannya untuk keluar daripada Umno dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Ahmad, yang juga Adun Kijal berkata, beliau sudah memohon maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pertemuan bersama perdana menteri di Putrajaya tengah hari tadi berhubung perkara itu dan mereka saling bermaafan atas salah faham yang berlaku.
      
"Hubungan tegang itu tercetus apabila saya memberitahu PM yang majlis perkahwinan anak saya pada 17 Mei yang akan berlangsung di kediaman kami di Telok Kalong.
      
"Namun PM kata itu masalah personal... ini melibatkan anak saya dan maruah saya sehingga saya mengambil keputusan meletakkan jawatan dalam Umno dan keluar daripada parti," katanya dalam sidang media, petang ini.
      
Turut menarik balik peletakan jawatan hari ini ialah Adun Ajil Ghazali Taib.
      
Ahmad berkata beliau dan Ghazali tetap setia dan sayangkan Umno.
      
"Saya dan Ghazali menarik balik peletakan jawatan tersebut dan kekal sebaga ahli Umno dan Adun di kawasan kami," katanya.
      
Kata Ahmad, beliau sedikit pun tidak berdendam terhadap apa yang berlaku, sebaliknya akan menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di kawasannya seperti biasa.
      
Beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu pada 12 Mei lepas setelah berjumpa dengan perdana menteri awal pagi itu.
      
Berikutan itu, Adun Seberang Takir Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik menjadi menteri besar yang baharu dan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu. 

Pada 13 Mei, Ahmad, Ghazali dan Adun Bukit Besi Roslee Daud mengisytiharkan bahawa mereka keluar daripada Umno dan menjadi wakil Bebas.
      
Sehubungan itu, politik di Terengganu dilihat bergolak apabila BN hanya mempunyai 15 kerusi DUN (termasuk undi Speaker dewan) daripada 32 kerusi, manakala PAS memiliki 14 kerusi, PKR (1), dan Bebas (2).
      
Hari ini, Ahmad Razif dan semua Adun Terengganu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri untuk membincangkan masalah yang dihadapi Umno Terengganu. - Bernama