Saturday 31 August 2013

Simpan bekal air

Posted by Unknown  |  at  17:34 No comments

Shah Alam: “Disebabkan gangguan bekalan air, operasi restoran kami terjejas kerana air keperluan utama untuk memasak dan menyediakan minuman.

“Kami terpaksa memastikan bekalan air disimpan secukupnya untuk membolehkan restoran terus beroperasi. Saya harap masalah ini (pencemaran air) diselesaikan segera kerana kami bakal berdepan kerugian jika ia berlarutan,” kata Penolong Pengurus Restoran Ani Sup Utara, Saadiah Abdul Rani, 35.

Menurutnya, dia hanya mengetahui gangguan bekalan air akan berlaku sejurus menonton televisyen semalam (kelmarin).
Katanya, sebagai langkah awal, dia mengarahkan pekerjanya menyimpan bekalan air secukupnya untuk kegunaan restoran.

“Sebagai peniaga, air keperluan penting. Saya berharap Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) memastikan bekalan air secukupnya dihantar ke kawasan Shah Alam kerana ia akan menjejaskan ramai peniaga di sini,” katanya.

Bagi penduduk, Shahrom Maarof, 67, bekalan air yang terjejas berikutan pencemaran mengganggu pelbagai rutin harian seperti memasak, membasuh pakaian dan pelbagai aktiviti harian.
Menurutnya, dia terpaksa membeli air mineral kerana bimbang bekalan air terputus sehingga menyukarkan keluarganya mendapat bekalan air bersih.

“Saya tidak sempat menyimpan bekalan air yang banyak kerana masalah ini diketahui pagi tadi (semalam) selepas dimaklumkan rakan.

“Lebih kasihan, ada jiran yang mengadakan kenduri dan rumah terbuka tapi berdepan dengan masalah air hingga menjejaskan majlis,” katanya.

Tinjauan Metro Ahad mendapati, bekalan air mineral yang dijual di beberapa pasar raya besar sekitar daerah ini habis berikutan orang ramai berpusu-pusu mendapatkan bekalan air minuman.

Ia didorong dengan trend pembelian panik oleh orang ramai kerana khuatir gangguan bekalan air berlarutan untuk tempoh lama sehingga menyukarkan mereka mendapatkan bekalan air minuman.

Semalam Harian Metro melaporkan, lebih sejuta warga kota bakal mengalami gangguan bekalan air berikutan tumpahan diesel dipercayai dari sebuah kawasan perusahaan di Rawang.

Tumpahan menyebabkan empat muka sauk loji di Sungai Selangor terpaksa ditutup sejak 8 pagi Khamis lalu, diikuti penutupan Loji Rawatan air Sungai Selangor (SSP) Fasa 1, 2 dan 3 serta Loji Rantau Panjang.

Tags:

Share This Post

About the Author

berkongsi pelbagai cerita menarik melalui medium blogspot

Dapatkan Berita Terkini Melalui Email

Hanya Masukkan Email Anda Di Sini.

Related posts

0 comments:

© 2014 Murai dot coms. Like FB Murai Dot Coms Edited from Bloggertheme9
Blogger templates. Proudly Powered by Blogger.
back to top