Tiada cadangan calon exco Pas jadi MB
SHAH ALAM - Pas Selangor tidak bercadang untuk meletakkan mana-mana
anggota Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) daripada parti itu sebagai calon
Menteri Besar Selangor yang baharu.
Pesuruhjayanya, Iskandar Abdul Samad berkata, sebaliknya buat masa ini
Pas masih lagi berpegang kepada prinsip bahawa jawatan menteri besar itu
adalah milik PKR.
"Kita tidak bincang isu (Pas jadi menteri besar) itu, cuma (ikut
keputusan) mesyuarat Pas Pusat pada 17 Ogos lalu bahawa kita setuju
menteri besar dari PKR, jadi sebab itu kita tak bincang lagi hal ini,"
katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Iskandar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan
penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr
Sivamurugan Pandian dalam sebuah akhbar hari ini yang mencadangkan
supaya Pas mencalonkan beliau (Iskandar) sebagai menteri besar sekiranya
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Shah menolak calon daripada PKR.
Mengulas lanjut, Iskandar berkata anggota Exco Pas akan terus
bekerjasama di bawah pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim sehingga diberitahu bagi memastikan perkhidmatan kerajaan
negeri dapat diteruskan.
"Saya juga nak beritahu bahawa program seperti Skim Mesra Usia Emas dan lain-lain masih diteruskan seperti biasa," katanya.
Pada Ahad lepas, Pas memutuskan untuk mencalonkan Timbalan Presiden PKR
Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar baharu di samping calon sedia
ada, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Bagaimanapun selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat pada hari
yang sama, gabungan pembangkang itu bersetuju Dr Wan Azizah dinamakan
sebagai calon tunggal bagi menggantikan Abdul Khalid. - Bernama
0 comments: